MyCartopia.com Click here to get one

Tuesday 23 December 2008

Siri Tarbiyah 12

Siri Tarbiyah 12

NEGARA ISLAM DAN AHLUL ZIMMAH

MUQADDIMAH


Firman Allah SWT, maksudnya;

"Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui. Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janji-Nya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat)." ( At-Taubah : 11-12

Orang-orang kafir musyrik yang telah mengisytiharkan permusuhan terhadap Islam, kesudahan dan keadaan mereka setelah itu ialah sama ada :

Pertama- Bertaubat dan insaf dari kekufuran, perbuatan membatalkan perjanjian dan penentangan mereka terhadap Islam. Realiti ini berlaku dengan mereka menerima Islam sebagai anutan. Apabila mereka telah beriman dengan Allah SWT, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, maka bertukarlah mereka dari reality mereka sebagai musuh kepada hakikat mereka sebagai saudara kepada golongan muslimin.

Kedua- Diperangi selepas mereka membatalkan perjanjian yang telah dimertai. Di dalam ayat di atas, disebut ‘ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir’ adalah kerana merekalah yang menjadi tonggak kepada kekufuran, dan merekalah yang telah mengalakkan para pengikutnya untuk melakukan kebatilan.

Ayat ini menjadi dalil bahawa golongan kafir zimmi yang bernaung di bawah Negara Islam, apabila mereka menghina dan mencerca Islam, ia bererti mereka telah membatalkan perjanjian yang telah mereka metrai. Lalu, peperangan pun diisytiharkan ke atas mereka. Dari situ jelas bahawa peperangan di dalam Islam tidak ada tujuan keduniaan atau untuk menunjukkan keangkuhan dan kehebatan, jauh sekali bertujuan untuk membalas dendam, tetapi ia adalah bertujuan untuk memastikan laluan tetap terbuka untuk dakwah Islam itu tetap diterima oleh umat manusia.

Sehubungan dengan itu, lahirnya kafir zimmi adalah setelah tertegaknya daulah atau Negara Islam. Hukum Islam membahagikan bukan-Muslim kepada beberapa kategori, bergantung pada hubungan mereka dengan negeri Islam. Kristian dan Yahudi dan lainnya yang hidup dibawah pemerintahan Islam dikenali sebagai zimmi ("orang yang dilindungi"). Menurut pakatan ini, keselamatan peribadi dan keselamatan harta awam zimmi telah dijamin dengan pulangan membayar ufti (jizyah) kepada negera Islam dan mengakui ketuanan Muslim. Secara sejarah, zimmi menikmati ukuran autonomi dibawah ketua keagamaan mereka, tetapi disubjek kepada batasan pengesahan, sosial dan keagamaan yang bertujuan untuk menekankan kelemahan mereka. Oleh kerana lahirnya kumpulan kafir yang diistilahkan dengan zimmi ini berkait rapat dengan negara Islam, memahami tentang Negara Islam adalah suatu keperluan yang tidak dapat disangkal lagi keperluannya.

TAKRIF NEGARA ISLAM

Kebanyakan pengkaji yang menulis tentang topik sekitar negara Islam sama ada sedar atau tidak sedar, pengistilahan negara Islam sebenarnya tidak diberikan secara langsung oleh fuqaha’ terdahulu. Kebanyakan dari kalangan mereka hanya menyebut ciri-ciri yang wajar wujud untuk sesebuah negara untuk dikenali sebagai negara Islam sahaja. Bagaimanapun ciri-ciri yang dikemukakan itu mirip menyerupai takrif/definisi. Sehingga menyebabkan ciri-ciri yang disebutkan oleh fuqaha’ mazhab itu telah disalah anggap sebagai takrif/definisi oleh pengkaji terkemudian.

Sememangnya tidak dinafikan terdapat perselisihan di dalam perbahasan mengenai ciri-ciri negara Islam. Ada di kalangan fuqaha’ yang menyebut bahawa sesebuah negara dikenali sebagai negara Islam dengan menggunakan sandaran kepada kekuasaan, pendudukan umat Islam, perlaksanaan hukum, keamanan berpihak kepada muslimin dan sebagainya. Di dalam kesempatan yang ada ini kita dapat memetik beberapa pendapat fuqaha’ terdahulu mengenai negara Islam bagi menjelaskan terdapatnya khilaf yang dinyatakan.

Al-Imam Abu Yusuf berkata: “Negara yang dikira negara Islam dengan terlaksananya hukum Islam di dalamnya walaupun kebanyakkan penduduknya adalah di kalangan orang-orang Kafir. Dan dikira sesebuah Negara itu ‘kufr’ kerana berjalannya hukum kafir padanya walaupun kebanyakkan penduduknya adalah dikalangan orang-orang Islam.”

Al-Imam As-Zarkhasi; menyebut: “Negara Islam adalah apa yang dinamakan pada suatu kawasan yang dikuasai oleh umat Islam, dan umat Islam berada dalam keamanan.”

Berkata Al-Imam Ar-Rafi’e: “ Tidak disyaratkan sesebuah negara Islam itu padanya umat-umat Islam, berpada dengan penguasaan berpihak kepada kepimpinan yang Islam.”

Berkata Ibnu Muflih Al-Hambali, “Setiap negara yang dikuasai hukum Islam, maka negara tersebut adalah negara Islam, dan jikalau dikuasai hukum kafir, maka negara tersebut adalah negara ‘kufr’.”

Berkata Ibnu Hazm Az-Zahiri, “Sesuatu negara boleh dinisbahkan kepada pengaruh, penguasa dan orang yang merajai negara tersebut.”

Walau bagaimanapun Ibnu Qayyim Al-Jauziah menukilkan bahawa Jumhur Fuqaha’ sepakat berpendapat: negara Islam didefinasikan sebagai: “Sebuah kawasan (Negara) yang didiami dan dikuasai oleh umat Islam dan terlaksana padanya hukum-hukum Islam. Maka, negara yang tidak menjalankan hukum Islam tidak dinamakan negara Islam.”

Kesimpulan; Dapat difahami melalui takrif yang dikemukakan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziah bahawa sesebuah negara Islam dikenali kerana padanya terdapat dua asas utama yang disebut sebagai “tertegak pemerintahan umat Islam, dan terlaksana hukum-hukum Islam.” Oleh itu negara yang tidak didiami oleh umat Islam sekalipun sekiranya terlaksana hukum-hukum Islam dan dikuasai umat Islam juga boleh dinamakan negara Islam.

Perbahasan Ulamak Muasarah:

Antara Ulamak dan cendiakawan Muasarah yang terlibat mendefinisikan negara Islam adalah seperti Al-Mujaddid Al-Maududi, Syeikh Abu Zahrah, Al-Ustaz Sayid Qutub Syeikh Abdul Qadir Audah, Al-Marhum Sheikh Abdul Wahab Khalaf, Dr. Wahbah Az-Zukhaily, Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi, Dr. Abdul Karim Zaidandan Dr. Muhammad Khair Haikal di dalam tesis PHDnya yang berjudul Al-Jihad Wal-Qital fi al-Siasah As-Syar’iyah


Kesimpulan;Takrif-takrif yang dikemukakan oleh para ulamak muasarah tidak jauh bezanya dengan ciri-ciri negara Islam yang disebut oleh para ulamak silam terdahulu. Ini kerana sebahagian mereka cenderung dengan apa yang dikemukakan oleh ulamak terdahulu sebagai ciri-ciri negara Islam untuk dijadikan takrif sesebuah negara Islam.

Melihat kepada beberapa takrif yang dikemukakan oleh ulamak muasarah tersebut bolehlah dibuat beberapa kesimpulan antaranya:

i. Negara Islam didefinisikan sebagai sebuah negara yang terlaksana padanya hukum-hukum Islam.
ii. Ditadbir oleh imam atau pemerintah Islam.
iii. Keselamatan dan keamanan berpihak kepada umat Islam.

Perkara (i) dan (ii) yang dinyatakan adalah titik pertemuan di antara pentakrifan yang dikemukakan ulamak muasarah dengan pencirian yang diberikan oleh ulamak terdahulu sedang perkara (iii) adalah titik perselisihan di mana sebahagian menyebut dan sebahagian yang lain tidak menyebut.

MUAMALAH ISLAMIYAH BERSAMA AHLUL ZIMMAH, MU’AHAD DAN HARB

Hukum bermuamalah dengan orang kafir:
1. Boleh melakukan urusan perdagangan dan sewa menyewa selama alat tukar, keuntungan dan barangnya dibolehkan oleh syari'at Islam.
2. Wakaf mereka selama itu pada hal-hal di mana wakaf terhadap kaum muslimin dibolehkan.
3. Muslim laki-laki boleh menikahi wanita ahli kitab (Yahudi maupun Nasrani).
4. Pinjam meminjam walaupun dengan menggadaikan barang.
5. Orang kafir boleh berdagang di negeri muslim asal dibolehkan secara syar'i dan 10 % keuntungan harus diserahkan untuk kepentingan umum kaum muslimin.
6. Jizyah bagi ahli kitab yang dalam perlindungan keamanan kaum muslimin.
7. Jika tidak sanggup bayar jizyah maka dibebaskan, jika miskin maka dibiayai dari Baitu Mal kaum muslimin.
8. Haram membolehkan mereka membangun rumah ibadah dalam Negara Islam, gereja yang sudah dibangunkan tidak boleh dihancurkan, tetapi bagi yang sudah runtuh tidak boleh dibangun kembali.
9. Hukum yang berlaku kepada mereka harus dihapus jika dalam agama mereka membolehkan.
10. Jika perbuatan itu haram dalam agama mereka lalu mereka melakukannya maka harus dihukum.
11. Orang Zimmi dan Mu'ahad tidak boleh diganggu selama mereka komitmen dengan perjanjian.
12. Hukum qisas atas nyawa dan juga berlaku bagi mereka.
13. Perjanjian damai dengan mereka atas permintaan mereka atau kita, selama mana itu ada maslahat umum bagi kaum muslimin dan pemimpin kaum muslimin sendiri cenderung ke arah itu. Namun perjanjian damai ini bersifat sementara dan tidak mutlak.
14. Darah, harta dan kehormatan kaum Zimmi dan Mu'ahid adalah haram.
15. Ahlul Harb (harus diperangi), tidak boleh memerangi mereka sebelum diberi peringatan dan mereka boleh dijadikan hamba, baik laki-laki atau wanita selama belum ada perjanjian damai.
16. Orang kafir yang tidak terlibat ( pendapat, perencanaan, diri) dalam memerangi kaum muslimin seperti anak-anak, wanita, rahib dalam rumah ibadahnya, orang tua, orang sakit dan seumpamanya tidak boleh diganggu dan diperangi.
17. Orang yang berlari menghindari perang, dengan mereka tidak boleh dibekali dan apa yang ditinggalkan menjadi rampasan perang.
18. Pemimpin kaum muslimin yang menyatakan sah dan benarnya kepemilikan (tanah) mereka. Namun mereka harus membayar pajak, tanah itu dinyatakan tanah wajib pajak. Jika tidak mahu membayar, harus diserahkan kapada kaum muslimin untuk dibangunkan di atasnya. Ini jika negeri mereka dibebaskan dengan perang, karena statusnya adalah harta rampasan perang.

MALAYSIA KE ARAH NEGARA ISLAM

Islam adalah satu cara hidup manusia yang berdasarkan kehendak Allah. Setiap Muslim wajib melaksanakan segala perintah dan hukum Allah sama ada bersifat individu atau kolektif. Hukum-hakam Allah yang dibawah tanggungjawab kolektif selalu dikaitkan dengan soal kemasyarakatan dan kenegaraan yang melibatkan hukum muamalat, munakahat, jinayah, hudud, khilafah dan urusan pentadbiran, qanun dan kehakiman, ketenteraan dan keselamatan, dakwah dan jihad, baitulmal (perbendaharaan) dan ekonomi dan lain-lain.

Hukum-hakam Allah yang berkait dengan dengan kemasyarakatan dan kenegaraan tidak dapat dilaksanakan tanpa pemimpin dan Kerajaan Islam. Kerajaan Islam bermaksud kerajaan berdaulat yang memerintah secara Islam. Melaksanakan perundangan, pemerintahan dan penghakiman negara berdasarkan Syariat Allah itu adalah satu ibadah dan hukumnya wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya Kerajaan Islam. Maka mewujudkan Kerajaan Islam adalah wajib. Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan Kerajaan Islam yang dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui proses demokrasi dan pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut adalah wajib.

Seseorang itu tidak dapat mengundi di dalam pilihanraya kecuali dia adalah seorang yang layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah. Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih dalam pilihanraya untuk melantik pimpinan dan Kerajaan adalah wajib. Turutan tindakan ini selaras dengan tuntutan kaedah feqah: “Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”.

KEWAJIPAN MELANTIK PEMIMPIN DI KALANGAN ORANG BERIMAN

Setiap Muslim wajib melaksanakan tanggungjawab mengundi untuk memilih calon pimpinan (wakil rakyat) yang akan membentuk kerajaan yang sah dan berdaulat pada hari pilihanraya yang ditetapkan. Pengundi muslim hendaklah memilih calon pimpinan (wakil rakyat) yang berjuang atas Dasar Islam dan Kebajikan Ummah untuk pastikan Kerajaan Islam diwujudkan. Pengundi Muslim hendaklah memilih seseorang calon pimpinan (wakil rakyat) itu hanya berdasarkan kelayakan (Amanah, Alim, Ahli, Adil) dan matlamat syariat seperti mana hadith Rasulullah SAW yang menyebut lafaz bai‘ah:

“Aku memberi bai‘ah kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”.

Ciri-ciri kepimpinan Islam adalah sebagaimana Firman Allah berikut;


Maksudnya: “Sesungguhnya, hanyasanya pemimpin kamu adalah Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat serta orang-orang yang ruku’ (tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT)”(Surah al Maidah: 55).

Arahan memilih pimpinan yang mukmin (beriman) adalah sebagaimana arahan Al Qur’an:

Maksudnya; “Barangsiapa yang berketuakan Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman, maka sesungguhnya golongan yang taat kepada Allah yang akan mencapai kemenangan.” (Surah al Maidah: 56)

Larangan memilih calon pimpinan (wakil rakyat) yang tidak Islamik adalah sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan (pemimpin atau ketua) daripada kalangan orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejekan dan permainan, daripada ahli Kitab yang sebelum kamu, dan (janganlah kamu jadikan) orang-orang kafir sebagai ketua, dan takutlah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al Maidah: 57).

Ibnu Abbas RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa melantik seorang lelaki ke atas sekumpulan orang ramai sedangkan terdapat di kalangan mereka orang yang lebih diredhai oleh Allah dari lelaki tersebut, maka ia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang mu’min.” (Hadist Riwayat al-Hakim dan as Sayuti).

Kepimpinan para ulamak, muttaqin dan solehin sangat releven dalam konteks masyarakat Islam. Ini dinyatakan di dalam Al-Qur’an;

Maksudnya;
“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama” (Surah al Fathir:28).

Rasulullah SAW bersabda :“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu, maka barangsiapa mengambil warisan tersebut maka ia telah mengambil bagian yang banyak” (HR At-Tirmizi)

Jika setiap Muslim memilih majoriti calon-calon pimpinan (wakil rakyat) yang mukmin dan berdasarkan tuntutan Islam, mereka akan membentuk Kerajaan Islam. Dengan kewujudan Kerajaan Islam dan kuasa yang dimiliki maka syariat Islam mampu dilaksanakan. Mereka mendaulatkan Islam dan melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar.

Sebaliknya jika memilih calon-calon pimpinan (wakil rakyat) bukan berdasarkan Islam, mereka akan membentuk kerajaan yang tidak Islamik seperti kerajaan Sekular, Kapitalis, Komunis, Sosialis atau apa-apa bentuk kerajaan jahiliyyah yang menolak syariat Allah dan membiarkan kefasikan serta kemunkaran di bumi Allah.

Sekiranya Muslim tidak memilih calon pimpinan (wakil rakyat) yang mampu melaksanakan dasar dan tadbir urus negara mengikut prinsip Islam, maka pimpinan (wakil rakyat) yang tidak Islamik akan menguasai Dewan Perundangan dan kuasa pentadbiran Negara. Mereka memerintah berdasar logik akal dan kepentingan nafsu.

Kegagalan membentuk Kerajaan yang beriman dan beramal dengan Islam adalah merupakan tanggungan dan dosa kita umat Islam keseluruhannya di hadapan Allah nanti. Kecuali mereka yang telah berusaha ke arah itu.

KEDUDUKAN WAKIL RAKYAT NON-MUSLIM

Sekiranya tiada terdapat calon pimpinan (wakil rakyat) dari kalangan muslim yang bertanding dalam satu-satu pilihanraya, pengundi muslim hendaklah membuat pilihan calon wakil rakyat golongan zimmi yang lebih baik dari segi manafaatnya dan kurang mudharatnya kepada Islam dan ummahnya, atau memilih calon wakil rakyat golongan golongan zimmi yang kurang keburukan (korupsi, rasuah, kronisme, pemborosan, kejahatan, kemaksiatan) dan kezalimannya (manipulasi, penyelewengan, penipuan, penindasan, jinayah, keganasan) kepada rakyat atau memilih golongan kuffar zimmi yang sedia bekerjasama dalam konteks prinsip Islam, kemanusiaan, kebajikan dan keadilan sejagat. Hal ini selaras dengan prinsip kaedah feqah yang menyatakan: “Mudharat/keburukan hendaklah dihindari”, “Mengambil mudharat yang kecil untuk menolak mudharat yang lebih besar” dan “Menolak bahaya adalah lebih penting daripada mencari kemanfaatan”.


ETIKA PILIHANRAYA MENURUT SYARAK

Mengundi dalam pilihanraya untuk melantik pemimpin (wakil rakyat) yang mukmin dan Kerajaan Islam adalah merupakan satu proses ibadat umum yang perlu dilaksanakan mengikut tuntutan syarie. Ia perlu dilaksanakan dengan penuh keinsafan, ketertiban, kesabaran dan keikhlasan tanpa melibatkan unsur-unsur kesyirikan, kemunafikan, kemunkaran dan kemaksiatan untuk mencapai keredhaan Allah dan mendapat pahala yang besar daripadaNya.

Amalan zulum (keangkuhan/ kezaliman/ penindasan/ eksploitasi/ ugutan/ paksaan/ pembunuhan), gharar (dusta/penipuan/ manipulasi/ penyelewengan), risyuah (rasuah/ korupsi/ politik wang/ habuan pangkat kedudukan/ dll),
maisir (perjudian/ pertaruhan), syubahah (kesamaran kaedah halal atau haramnya, pemborosan, kolusi, konspirasi), assobiyyah (nepotisme/ kronisme/ fanatik kepuakan, kepartian, kedaerahan/ taksub mazhab/ kejumudan nasionalisme/ keegoan materialisme) dan lain-lain yang bercanggah dengan syarak hendaklah dijauhi

Segala tindakan dalam proses pilihanraya dan amalan demokrasi hendaklah betul, wajar dan adil mengikut Perlembagaan Negara dan Syariat Islam untuk memastikan kejayaan kepada pihak yang hak.

KEWAJIPAN MEMBENTUK KERAJAAN ISLAM

Dalam konteks Malaysia, kita umat Islam wajib menyertai pilihanraya dan wajib memilih pimpinan (wakil rakyat) yang berpegang kepada prinsip Islam dalam mengganggotai dewan perundangan dan pemerintahan Negara. Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa kekuasaan yang dimiliki pemimpin Islam adalah sebuah kepercayaan (amanah) dari umat Islam dan bukan kekuasaan yang mutlak.

Tanggungjawab setiap pimpinan (wakil rakyat) Islam pula adalah wajib membentuk Kerajaan Islam yang melaksanakan pemerintahan atas prinsip Islam dan amalan syariat Allah. Dengan itu umat Islam akan mampu melaksanakan semua amal ibadat, hukum dan syariat Allah serta amal Islami secara keseluruhan demi mencapai keredhaan Allah di Dunia dan di Akhirat.

Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Khaldun dan lain-lain menegaskan: “Muhammad sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang mengurusnya”. Ibnu Hazam Al Andalusi menjelaskan para ulama’ bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan Kerajaan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Ibnu Khaldun menegaskan bahawa:"Kekhalifahan (pimpinan umat) harus mampu menggerakkan umat untuk bertindak sesuai dengan ajaran Islam dan menyeimbangkan kewajiban di dunia dan akhirat. (Kewajiban di dunia) harus pilih pemimpin secara syarie dalam konteks demokrasi Malaysia seimbang (dengan kewajiban untuk akhirat), seperti yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad, semua kepentingan dunia harus mempertimbangkan keuntungan untuk kepentingan akhirat. Kesimpulannya, (Kekhalifahan) pada kenyataannya menggantikan Nabi Muhammad, beserta sebahagian tugasnya, untuk melindungi agama dan menjalankan kekuasaan politik di dunia."

Imam Taqiyyuddin An Nabhani menyatakan bahawa kepemimpinan kaum muslimin adalah untuk menegakkan hukum-hukum Syariat Islam dan mengembang (dakwah) risalah Islam ke seluruh dunia.

PENUTUP

Oleh itu mewujudkan jemaah Islam serta mendokongnya, mengundi calon jemaah Islam dan membentuk Kerajaan Islam adalah satu ibadat wajib setiap muslim supaya akidah dan syariat Islam dapat ditegak, dipertahan dan dikembangkan di atas mukabumi ini sehingga Hari Kiamat . Amalan ini selaras dengan prinsip kaedah feqah yang menyatakan; “Sesuatu yang wajib (amalan fardhu & hukum syariat Allah) tidak sempurna (tidak dapat dilaksanakan) melainkan dengannya (dengan sesuatu proses/alat/kaedah tertentu) akan ia (proses/alat/kaedah tersebut) menjadi wajib”.

Justeru itu, adalah menjadi kewajipan kita sebagai seorang muslim hendaklah memastikan segala urusan dan permasalahan umat dirujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah.