MyCartopia.com Click here to get one

Saturday 16 August 2008

Isu muqabalah/muzakarah : Perkasakan tarbiyah dalaman parti



Ipoh, 16 Ogos - Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Nasrudin Hasan dalam membahaskan ucapan dasar Presiden menegaskan bahawa PAS adalah merupakan satu gerakan Islam, siasah dan dakwah yang mana PAS bukanlah sekadar politik tetapi juga merupakan satu gerakan dakwah. Oleh itu dalam ucapan beliau, semua pihak mesti menghayati dan merealisasikan prinsip gerakan siasah, dakwah dan tarbiyah."PAS yang merupakan satu gerakan siasah, perlulah fokus kepada politik perpaduan yang mana berasaskan kepada kedamaian. Perlulah bina jejantas dengan semua pihak", katanya lagi. Pemuda telah mengadakan hubungan dengan semua pihak iaitu dari badan NGO, artis, golongan terbiar dan termasuklah ke istana sebagai usaha untuk merealisasikan usaha ini.



Ustaz Nasrudin juga menyeru ahli PAS menggunakan kaedah "menjadi kawan dalam musuh, buang musuh dalam kawan". Kepercayaan tinggi kepada pimpinan haruslah diberi dalam memastikan kemenangan yang berpaksikan kepada Islam. Konsep thiqah mesti di praktikkan terutamanya bila berlaku isu seperti muqabalah/muzakarah. Beliau juga menyeru semua ahli-ahli PAS supaya menghayati sirah perjanjian hudaibiyah yang membawa kemenangan Islam yang sebenar. Rasulullah dan tentera Islam telah menang di dalam beberapa siri peperangan seperti perang Badr, perang Ahzab dan perang Tabuk tetapi kemenangan yang paling besar ialah kemenangan pembukaan kota mekah hasil daripada Perjanjian Hudaibiyah. Inilah politik perpaduan yang telah dipelopori oleh Rasulullah yang mesti dicontohi.



Tarbiyah juga menjadi fokus beliau apabila menyentuh isu muqabalah/muzakarah. Konsep-konsep Jamaah seperti wala' dan thiqah, dengar dan taat perlu di fahami dengan lebih mendalam oleh ahli. Ini perlu untuk mengukuhkan dan membina dalaman jamaah supaya tidak goyah. Pemuda PAS memohon supaya segala pertelingkahan dalaman parti diselesaikan secara baik dan berhikmah. Menurut beliau, pertelingkahan hanya akan membawa kepada perpecahan jamaah. Peranan tarbiyah yang sudah lama kurang ditekankan. Budaya tamrin, usrah qiamullail dan muqayyam sudah lama di pinggirkan. Oleh yang demikian beliau menyeru pimpinan disemua peringkat supaya tarbiyah dalamn parti mesti diperkasakan.



Selain itu beliau turut menggesa pimpinan PAS supaya dapat menghidupkan semula budaya pemikiran intelektual di kalangan ahli Jemaah. Ini penting kerana Parti PAS memerlukan kekuatan hujjah berhadapan dengan masyarakat terutamanya pimpinan di pelbagai peringkat. Budaya 'keras keng' (tak ada hujah tapi berkeras) perlu dielakkan. Wajah PAS perlu ditonjolkan sebagai parti intelektual dan tidak hanya dianggap sebagai parti demonstrasi, ujar beliau yang menganggap tahun 2008 sebagai tahun ujian.